Thursday 3 October 2013

Muslimat Kuat

Muslimat kena kuat. Tak kuat pun, cubalah untuk kuat. Kuat kita bukan pada kekuatan fizikal semata-mata, tapi kuatnya kita bila kita serahkan hati kita sepenuhnya kepada Allah. Kerana itu, rasulullah menyampaikan satu wirid khas kepada anakanda kesayangannya, Fatimah untuk diamalkan pada waktu pagi dan petang. Perkara ini ada diceritakan dalam satu hadis yang panjang bila mana fatimah mengadu kepada bapanya tentang kesulitan mengurus rumah tangga seharian. 

Muslimat, kita mohon agar Allah perbaiki (aslih) segala urusan kita. Jangan sampai Allah biarkan diri kita kepada diri kita sendiri walau kadar sekelip mata. Cuba bayangkan, seronok tak bila mak yang kita sayang kata kepada kita dengan sayunya, "Mulai hari ini, kau buatlah apa yang kau suka. Tak payahlah nak rujuk mak apa-apa. Kau dah besar, dah pandai... Jangan minta apa-apa lagi dengan mak..". Bayangkan muslimat, hati anak mana yang tak luluh mendengar kata-kata sebegini bukan? Begitu juga kita sebagai hamba dengan Allah. Jangan sampai satu masa, Allah beritahu kepada malaikat, "Wahai para malaikat, mulai hari ini tak payah lagi kamu menjaga si fulan. Lantak, suka hati dialah nak buat apa. Dia lagi pandai mengurus hidupnya.". Nauzubillah ya Allah. Kalau beginilah keadaannya, apa akan jadi dengan diri kita? Walau dengan kadar kerlipan mata Allah lepaskan, seorang suami sanggup menembak mati isterinya sendiri. Dengan kadar sekelip mata, seorang ayah yang Allah lepaskan dia menerkup anaknya sendiri dengan bantal. Semua ini sekejap saja Allah lepaskan, macam macam boleh jadi. 

Oleh itu muslimat dan sahabatku, mohonlah dengan Allah agar tetap menjaga kita sampai hari kita dijemput pulang ke pangkuannya. Macam mana Allah nak jaga kita? Yaitu dengan cara kita turut 'menjaga' Allah dalam erti kata menjaga solat, menjalankan titah perintah Allah, jauhi segala laranganNya. Belajar dan ajar orang lain sebut ini selalu, "Ihfazillah, yahfazka (Jagalah Allah, Allah akan menjagamu)" hatta kepada anak-anak kita nanti. Lambat laun, walaupun mereka tak faham, Allah akan perlihatkan bagaimana cara Dia menjaga kita. :)


p/s: wirid yang dalam gambar ni, di hujungnya sebutan "thorfata 'ain".. tak tahu kenapa tak dapat ubah 'hamzah' tu kepada titik 'taa'..

Bahagia Kita


Bahagia itu dari dalam diri 
Kesannya zahir rupanya maknawi 
Terpendam bagai permata di dasar hati 


Bahagia itu ada pada hati 
Bertakhta di kerajaan diri 
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani 



Bahagia itu ada di jiwa 
Mahkota di singgahsana rasa 
Bahagia itu adalah suatu ketenangan 



Hakikatnya bahagia itu 
Adalah ketenangan 
Bila hati mengingati Tuhan 
(UNIC- Hakikat bahagia)



Benar, itulah erti bahagia kita. Kita hanya akan bahagia bila hati menjadi tenang. Biarlah macam mana kesusahan, dugaan, ujian yang menghimpit namun bahagianya tetap terasa. Kerana apa? Kerana di sebalik kesusahan zahir itu, Allah hadirkan ketenangan khusus buat orang yang bersabar. Dan bagi org mukmin itu, ketenangan dicapai hanya dengan mengingati Allah dalam setiap urusan. Jadi, soal ketenangan ini memang tak dapat lari dengan solat, sebab dalam solatlah terhimpunnya kemuncak segala ketenangan:

SOLAT
Solat bukanlah satu ritual semata-mata. Ia bahkan satu hadiah dari Allah kepada setiap hambaNya. Apabila seseorang itu bersolat, maka terputuslah hubungannya dengan dunia. Seolah-olah Allah berbisik, "Ke marilah dekat denganKu. Itulah posisi paling hampir seorang hamba dengan Pencipta. Alirkan ketenanganmu ketika solat. Nyatakan, apa sahaja masalah yang dibentangkan dalam kehidupan, hadapkan segalanya kepada Allah sebab dengan izin Allah masalah itu hadir, dan pastinya hanya dari Allah segala jalan keluar itu. Sungguh Allah sangat rindu mendengar rengekan tangisan itu. Kalau sudah begitu keadaan nya, apakah kita tidak tenang lagi dengan solat? Subhanallah. 

Semaklah semula bagaimana keadaan kita sewaktu solat, apakah masih lagi terfikir tentang urusan dunia yang tak kan pernah habis? Apakah kita faham dan hayati setiap bait yang dilafaz? Apakah kita solat dalam keadaan tergopoh-gapah? Umat akhir zaman ini semakin hari semakin tidak tenang dalam solat kerana 3L. Lewat, lalai, laju. Sudahlah lewat solatnya, lalai lagi. Sudahlah lalai, tambah laju! Muhasabah diri masing-masing bagaimana rupa kita dalam solat. 

WUDHUK
"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kpd mereka), dan janganlah mereka (berlaku) spt orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang hingga hati mereka menjadi keras." [Surah Al Hadid: 16]

Antara aspek utama dalam mencapai khusyuk dalam solat adalah wudhuk. Pengambilan wudhuk yang betul dan menepati sunnah akan membawa kpd kekhusyukan solat. Bolehlah tengok video kat bawah untuk semak semula cara wudhuk yang betul :)


BERSYUKUR
Tak dilupakan juga, orang yang selalu menghargai diri sendiri, bersyukur dgn kehidupan yang diberi, redha atas setiap ketetapan Ilahi akan menjadi orang yang sangat tenang. Dia tahu bahawasanya Allah mengatur sesuatu yang terbaik dalam kehidupannya, meskipun kelihatan tidak menarik seperti orang lain. Lain orang, pasti berbeza skrip perjalanan hidupnya. Yakinilah ini, pasti kita akan jauh dari sikap dengki dengan orang, buruk sangka, dan sifat mazmumah yang lain. Dianjurkan juga baca doa nabi ibrahim di awal pagi sebagai tanda kesyukuran kita :) Alhamdulillah. 

Ada satu kisah. Di satu sudut, kelihatan seorang ibu sedang asyik menyulam cross-stich sedang si anak sibuk bermain-main sambil matanya tak lepas dari memandang si ibu. Lalu si anak datang kepada ibunya, duduk di sisinya dan bertanya, "Ibu, ibu buat apa? Dari tadi adik tgok serabut je benang kat bawah ni." Sambil tersenyum, si ibu berkata, "Tak palah nak. Adik pergi main, ibu siapkan ini dahulu. Kerja adik main...". Tak lama kemudian, si anak datang semula kepada si ibu dan bertanyakan hal yang serupa berulang kali. Apabila sulaman tadi sudah siap, si ibu pun memanggil si anak, "Adik, ke mari. Ibu mahu tunjukkan sesuatu kpd mu.". Tatkala melihat sulaman itu tadi, si anak sangat teruja dan seronok. "Cantiknya ibu, ada bunga, ada pokok, ada awan... cantiknya...tapi kenapa tadi adik tengok tak cantik", kata si anak. Si ibu membalas, "Nak, tadi kamu melihat sulaman ni dari bawah yang dipenuhi benang-benang berserabut. Sekarang, kamu lihat dari atas. Sebab itu kamu lihat satu hasil yang sangat cantik.."

Begitulah jua dalam kehidupan kita. Kita seringkali melihat segala yang Allah datangkan dari sudut seorang hamba yang dhaif, lemah, tidak tahu. Kita merasakan semuanya serabut, tak cantik, pahit, dan sebagaimya. Rupa-rupanya Allah sedang menyulam kehidupan kita dengan sangat indah. Sampai waktunya, Allah berkata, "Wahai hamba, lihatlah apa yang sedang aku takdirkan sesuatu yg sgt indah untukmu."  


Monday 30 September 2013

Warna warna cinta~



Mereka berkata
Hidup perlukan cinta 
Agar sejahtera aman dan bahagia 
Andai tiada atau pudar warnanya 
Meranalah jiwa gelaplah dunia

Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu 
Semat pada senyuman dan tangismu
Agar mewarnai
Jiwamu yang tulus
Seperti sang pelangi selepas gerimis

Mereka berkata
Cinta itu merah 
Mengalir bersama titisan yang sempurna
Cinta berharga bila sudah tiada
Menjadi sejarah yang mungkin kan di lupa

Apa warna cinta
Bila hidup sengketa
Kabur warnanya

Warna-warna cinta
Yang terlukis di hatimu
Semat pada senyuman dan tangismu
Agar mewarnai jiwamu yang tulus
Seperti sang pelangi selepas gerimis


Friday 27 September 2013

Perkhabaran Rindu

Assalamualaikum,

Buat sahabatku yg dikasihi kerana Allah, insyaAllah alhamdulillah, ana ok :)
Rindu melihat telatahmu, bicara penuh lembut dan hikmah, tawa ceriamu, segalanya tentangmu.

Semoga baik-baik saja enti di sana ya, insyaAllah Allah selalu menjagamu~
Sama-samalah kuatkan mujahadah sesudah muhasabah kita.

Ihfazillah, yahfazka. Jagalah Allah, Allah menjagamu


Doa Awal Pagi

Antara petua untuk beroleh ketenangan adalah dengan menghargai diri setiap kali bangun pagi dengan sebuah doa nabi Ibrahim menurut Imam Al Ghazali~

Barangsiapa berdoa dengan doa ini di pagi subuh hari lagi, insyaAllah akan membawa dia mensyukuri seluruh kehidupan yang Allah beri seterusnya beroleh sakinah bagi hari tersebut.

Selamat beramal :)





Thursday 26 September 2013

Tuhan memanggil ku

Bismillah

"Dan apabila manusia ditimpa bencana, dia memohon (pertolongan) kpd Tuhannya dengan kembali (taat) kepadaNya; tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu...."
(Surah Az zumar: 8)

Memang begitulah watak seorang manusia. Apabila Allah datangkan kesusahan padanya, pandailah dia datang kepada Allah sambil membawa hati yang dicintaiNya. Hati yang bertaubat kembali kepadaNya. Sesuai dengan sabda Rasul, "Bila mana Allah mencintai seorang hambaNya, maka Dia akan datangkan ujian kepadanya..".

Boleh jadi selama ini, Tuhan memanggil kita berkali-kali untuk kembali membawa hati yang suci bersih lagi tenang kepadaNya namun kita ambil mudah. Ambil tak endah. Lalu Tuhan pun berkata, "Tak mengapalah, Aku lagi tahu apa yang hendak dibuat dengan si fulan." Kita bertuah sebab Allah masih sudi mendatangkan ujian berbentuk kesusahan supaya kita sedar bahawa kita milik Allah sepenuhnya hatta hati kita sendiri. Kenapa bersyukur? Sebab ada orang yang Allah dah menyampah padanya, lalu Allah lepaskan dia kepada dirinya sendiri. Nauzubillah.

Terima kasih Ya Allah, sudi memanggil aku~



Tuhan memanggil ku tidak menyahutnya 
Tuhan memanggil aku mendengar saja 
Tuhan memanggil aku ku sahut sekali-sekala 
Tuhan memanggil aku ku cuba menerimanya

Tuhan memanggil ku sahut bertalu-talu
Tuhan memanggil ku jemu menyahutnya
tapi aku memaksa diriku menerimanya
itulah diri aku belum jinak dengan Tuhan
aku akan jinakkan dengan berkelana 



Wednesday 25 September 2013

Pesanan Ayahanda #1

Wahai anakku, Apakah ada kekuatan lain selain kekuatan hubungan dengan Allah yang mampu mengeluarkan kamu dari perangkap kekecewaan yang sengaja dipasang oleh syaitan bagi menjadikan kamu murung, bersedih dan bersendirian?

Wahai anakku, Kamu boleh menangis dan bersedih kerana manusia. Berapa kali kamu menangis kerana kamu melanggar perintah Tuhanmu? Berapa banyak air matamu tumpah kerana dosa-dosamu? Kamu rasa lemah menghadapi karenah manusia, tetapi kamu tidak berusaha mencari jalan membina kekuatan amalanmu.

Wahai anakku, Jangan biarkan perasaanmu dibelai oleh nafsu, sebagaimana jangan kamu biarkannya dikuasai oleh syaitan. Syaitan sangat inginkan kamu murung dengan masalah kecil, kerana lemahnya jiwamu. Sedangkan di hadapanmu menanti hari yang sangat besar. Kamu nanti tiada masa memikirkan masalah remeh-temeh ini, kerana dahsyatnya saat akhirat yang kamu akan tempuhi.

Wahai anakku, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya kamu ditimpa sesuatu musibah, janganlah kamu berkata 'Kalaulah aku lakukan begitu dan begini', tetapi katakanlah ‘telah ditakdirkan Allah’, apa yang dikehendakiNya akan terjadi. Kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka ruang syaitan ke dalam hatimu."

Wahai anakku, Tabahlah menghadapi sedikit ujian Allah di dunia ini, kerana dengan ujian itu kamu menjadi semakin matang menghadapi cabaran. Bersabarlah dengan apa yang menimpamu, kerana dengan mehnah itu, Allah akan mengangkat darjatmu dan mengampuni dosa-dosamu. Wahai anakku, tangisilah dosa-dosamu di dunia ini, kerana itu lebih mudah bagimu dari menangisi azab Tuhanmu di akhirat.

Senyumlah kepada keredhaan Tuhanmu.
Ust Tuan Ibrahim Tuan Man