Wahai anakku, Apakah ada kekuatan lain selain kekuatan
hubungan dengan Allah yang mampu mengeluarkan kamu dari perangkap kekecewaan
yang sengaja dipasang oleh syaitan bagi menjadikan kamu murung, bersedih dan
bersendirian?
Wahai anakku, Kamu boleh menangis dan bersedih kerana manusia. Berapa kali kamu
menangis kerana kamu melanggar perintah Tuhanmu? Berapa banyak air matamu
tumpah kerana dosa-dosamu? Kamu rasa lemah menghadapi karenah manusia, tetapi
kamu tidak berusaha mencari jalan membina kekuatan amalanmu.
Wahai anakku, Jangan biarkan perasaanmu dibelai oleh nafsu, sebagaimana jangan
kamu biarkannya dikuasai oleh syaitan. Syaitan sangat inginkan kamu murung
dengan masalah kecil, kerana lemahnya jiwamu. Sedangkan di hadapanmu menanti
hari yang sangat besar. Kamu nanti tiada masa memikirkan masalah remeh-temeh
ini, kerana dahsyatnya saat akhirat yang kamu akan tempuhi.
Wahai anakku, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya kamu ditimpa sesuatu
musibah, janganlah kamu berkata 'Kalaulah aku lakukan begitu dan begini',
tetapi katakanlah ‘telah ditakdirkan Allah’, apa yang dikehendakiNya akan
terjadi. Kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka ruang syaitan ke dalam
hatimu."
Wahai anakku, Tabahlah menghadapi sedikit ujian Allah di dunia ini, kerana
dengan ujian itu kamu menjadi semakin matang menghadapi cabaran. Bersabarlah
dengan apa yang menimpamu, kerana dengan mehnah itu, Allah akan mengangkat
darjatmu dan mengampuni dosa-dosamu. Wahai anakku, tangisilah dosa-dosamu di
dunia ini, kerana itu lebih mudah bagimu dari menangisi azab Tuhanmu di
akhirat.
Senyumlah kepada keredhaan Tuhanmu.
Ust Tuan Ibrahim Tuan Man
No comments:
Post a Comment