Muslimat kena kuat. Tak kuat pun, cubalah untuk kuat. Kuat kita bukan pada kekuatan fizikal semata-mata, tapi kuatnya kita bila kita serahkan hati kita sepenuhnya kepada Allah. Kerana itu, rasulullah menyampaikan satu wirid khas kepada anakanda kesayangannya, Fatimah untuk diamalkan pada waktu pagi dan petang. Perkara ini ada diceritakan dalam satu hadis yang panjang bila mana fatimah mengadu kepada bapanya tentang kesulitan mengurus rumah tangga seharian.
Muslimat, kita mohon agar Allah perbaiki (aslih) segala urusan kita. Jangan sampai Allah biarkan diri kita kepada diri kita sendiri walau kadar sekelip mata. Cuba bayangkan, seronok tak bila mak yang kita sayang kata kepada kita dengan sayunya, "Mulai hari ini, kau buatlah apa yang kau suka. Tak payahlah nak rujuk mak apa-apa. Kau dah besar, dah pandai... Jangan minta apa-apa lagi dengan mak..". Bayangkan muslimat, hati anak mana yang tak luluh mendengar kata-kata sebegini bukan? Begitu juga kita sebagai hamba dengan Allah. Jangan sampai satu masa, Allah beritahu kepada malaikat, "Wahai para malaikat, mulai hari ini tak payah lagi kamu menjaga si fulan. Lantak, suka hati dialah nak buat apa. Dia lagi pandai mengurus hidupnya.". Nauzubillah ya Allah. Kalau beginilah keadaannya, apa akan jadi dengan diri kita? Walau dengan kadar kerlipan mata Allah lepaskan, seorang suami sanggup menembak mati isterinya sendiri. Dengan kadar sekelip mata, seorang ayah yang Allah lepaskan dia menerkup anaknya sendiri dengan bantal. Semua ini sekejap saja Allah lepaskan, macam macam boleh jadi.
Oleh itu muslimat dan sahabatku, mohonlah dengan Allah agar tetap menjaga kita sampai hari kita dijemput pulang ke pangkuannya. Macam mana Allah nak jaga kita? Yaitu dengan cara kita turut 'menjaga' Allah dalam erti kata menjaga solat, menjalankan titah perintah Allah, jauhi segala laranganNya. Belajar dan ajar orang lain sebut ini selalu, "Ihfazillah, yahfazka (Jagalah Allah, Allah akan menjagamu)" hatta kepada anak-anak kita nanti. Lambat laun, walaupun mereka tak faham, Allah akan perlihatkan bagaimana cara Dia menjaga kita. :)
p/s: wirid yang dalam gambar ni, di hujungnya sebutan "thorfata 'ain".. tak tahu kenapa tak dapat ubah 'hamzah' tu kepada titik 'taa'..
Bila hati mengingati Tuhan (UNIC- Hakikat bahagia)
Benar, itulah erti bahagia kita. Kita hanya akan bahagia bila hati menjadi tenang. Biarlah macam mana kesusahan, dugaan, ujian yang menghimpit namun bahagianya tetap terasa. Kerana apa? Kerana di sebalik kesusahan zahir itu, Allah hadirkan ketenangan khusus buat orang yang bersabar. Dan bagi org mukmin itu, ketenangan dicapai hanya dengan mengingati Allah dalam setiap urusan. Jadi, soal ketenangan ini memang tak dapat lari dengan solat, sebab dalam solatlah terhimpunnya kemuncak segala ketenangan:
SOLAT
Solat bukanlah satu ritual semata-mata. Ia bahkan satu hadiah dari Allah kepada setiap hambaNya. Apabila seseorang itu bersolat, maka terputuslah hubungannya dengan dunia. Seolah-olah Allah berbisik, "Ke marilah dekat denganKu. Itulah posisi paling hampir seorang hamba dengan Pencipta. Alirkan ketenanganmu ketika solat. Nyatakan, apa sahaja masalah yang dibentangkan dalam kehidupan, hadapkan segalanya kepada Allah sebab dengan izin Allah masalah itu hadir, dan pastinya hanya dari Allah segala jalan keluar itu. Sungguh Allah sangat rindu mendengar rengekan tangisan itu. Kalau sudah begitu keadaan nya, apakah kita tidak tenang lagi dengan solat? Subhanallah.
Semaklah semula bagaimana keadaan kita sewaktu solat, apakah masih lagi terfikir tentang urusan dunia yang tak kan pernah habis? Apakah kita faham dan hayati setiap bait yang dilafaz? Apakah kita solat dalam keadaan tergopoh-gapah? Umat akhir zaman ini semakin hari semakin tidak tenang dalam solat kerana 3L. Lewat, lalai, laju. Sudahlah lewat solatnya, lalai lagi. Sudahlah lalai, tambah laju! Muhasabah diri masing-masing bagaimana rupa kita dalam solat.
WUDHUK
"Belum tibakah waktunya bagi orang-orang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kpd mereka), dan janganlah mereka (berlaku) spt orang-orang yang telah menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang hingga hati mereka menjadi keras." [Surah Al Hadid: 16]
Antara aspek utama dalam mencapai khusyuk dalam solat adalah wudhuk. Pengambilan wudhuk yang betul dan menepati sunnah akan membawa kpd kekhusyukan solat. Bolehlah tengok video kat bawah untuk semak semula cara wudhuk yang betul :)
BERSYUKUR
Tak dilupakan juga, orang yang selalu menghargai diri sendiri, bersyukur dgn kehidupan yang diberi, redha atas setiap ketetapan Ilahi akan menjadi orang yang sangat tenang. Dia tahu bahawasanya Allah mengatur sesuatu yang terbaik dalam kehidupannya, meskipun kelihatan tidak menarik seperti orang lain. Lain orang, pasti berbeza skrip perjalanan hidupnya. Yakinilah ini, pasti kita akan jauh dari sikap dengki dengan orang, buruk sangka, dan sifat mazmumah yang lain. Dianjurkan juga baca doa nabi ibrahim di awal pagi sebagai tanda kesyukuran kita :) Alhamdulillah.
Ada satu kisah. Di satu sudut, kelihatan seorang ibu sedang asyik menyulam cross-stich sedang si anak sibuk bermain-main sambil matanya tak lepas dari memandang si ibu. Lalu si anak datang kepada ibunya, duduk di sisinya dan bertanya, "Ibu, ibu buat apa? Dari tadi adik tgok serabut je benang kat bawah ni." Sambil tersenyum, si ibu berkata, "Tak palah nak. Adik pergi main, ibu siapkan ini dahulu. Kerja adik main...". Tak lama kemudian, si anak datang semula kepada si ibu dan bertanyakan hal yang serupa berulang kali. Apabila sulaman tadi sudah siap, si ibu pun memanggil si anak, "Adik, ke mari. Ibu mahu tunjukkan sesuatu kpd mu.". Tatkala melihat sulaman itu tadi, si anak sangat teruja dan seronok. "Cantiknya ibu, ada bunga, ada pokok, ada awan... cantiknya...tapi kenapa tadi adik tengok tak cantik", kata si anak. Si ibu membalas, "Nak, tadi kamu melihat sulaman ni dari bawah yang dipenuhi benang-benang berserabut. Sekarang, kamu lihat dari atas. Sebab itu kamu lihat satu hasil yang sangat cantik.."
Begitulah jua dalam kehidupan kita. Kita seringkali melihat segala yang Allah datangkan dari sudut seorang hamba yang dhaif, lemah, tidak tahu. Kita merasakan semuanya serabut, tak cantik, pahit, dan sebagaimya. Rupa-rupanya Allah sedang menyulam kehidupan kita dengan sangat indah. Sampai waktunya, Allah berkata, "Wahai hamba, lihatlah apa yang sedang aku takdirkan sesuatu yg sgt indah untukmu."
Buat sahabatku yg dikasihi kerana Allah, insyaAllah alhamdulillah, ana ok :)
Rindu melihat telatahmu, bicara penuh lembut dan hikmah, tawa ceriamu, segalanya tentangmu.
Semoga baik-baik saja enti di sana ya, insyaAllah Allah selalu menjagamu~
Sama-samalah kuatkan mujahadah sesudah muhasabah kita.
Ihfazillah, yahfazka. Jagalah Allah, Allah menjagamu
Antara petua untuk beroleh ketenangan adalah dengan menghargai diri setiap kali bangun pagi dengan sebuah doa nabi Ibrahim menurut Imam Al Ghazali~
Barangsiapa berdoa dengan doa ini di pagi subuh hari lagi, insyaAllah akan membawa dia mensyukuri seluruh kehidupan yang Allah beri seterusnya beroleh sakinah bagi hari tersebut.
"Dan apabila manusia ditimpa bencana, dia memohon (pertolongan) kpd Tuhannya dengan kembali (taat) kepadaNya; tetapi apabila Dia memberikan nikmat kepadanya dia lupa (bencana) yang pernah dia berdoa kepada Allah sebelum itu...."
(Surah Az zumar: 8)
Memang begitulah watak seorang manusia. Apabila Allah datangkan kesusahan padanya, pandailah dia datang kepada Allah sambil membawa hati yang dicintaiNya. Hati yang bertaubat kembali kepadaNya. Sesuai dengan sabda Rasul, "Bila mana Allah mencintai seorang hambaNya, maka Dia akan datangkan ujian kepadanya..".
Boleh jadi selama ini, Tuhan memanggil kita berkali-kali untuk kembali membawa hati yang suci bersih lagi tenang kepadaNya namun kita ambil mudah. Ambil tak endah. Lalu Tuhan pun berkata, "Tak mengapalah, Aku lagi tahu apa yang hendak dibuat dengan si fulan." Kita bertuah sebab Allah masih sudi mendatangkan ujian berbentuk kesusahan supaya kita sedar bahawa kita milik Allah sepenuhnya hatta hati kita sendiri. Kenapa bersyukur? Sebab ada orang yang Allah dah menyampah padanya, lalu Allah lepaskan dia kepada dirinya sendiri. Nauzubillah.
Terima kasih Ya Allah, sudi memanggil aku~
Tuhan memanggil ku tidak menyahutnya
Tuhan memanggil aku mendengar saja
Tuhan memanggil aku ku sahut sekali-sekala
Tuhan memanggil aku ku cuba menerimanya
Tuhan memanggil ku sahut bertalu-talu
Tuhan memanggil ku jemu menyahutnya
tapi aku memaksa diriku menerimanya
itulah diri aku belum jinak dengan Tuhan
Wahai anakku, Apakah ada kekuatan lain selain kekuatan
hubungan dengan Allah yang mampu mengeluarkan kamu dari perangkap kekecewaan
yang sengaja dipasang oleh syaitan bagi menjadikan kamu murung, bersedih dan
bersendirian?
Wahai anakku, Kamu boleh menangis dan bersedih kerana manusia. Berapa kali kamu
menangis kerana kamu melanggar perintah Tuhanmu? Berapa banyak air matamu
tumpah kerana dosa-dosamu? Kamu rasa lemah menghadapi karenah manusia, tetapi
kamu tidak berusaha mencari jalan membina kekuatan amalanmu.
Wahai anakku, Jangan biarkan perasaanmu dibelai oleh nafsu, sebagaimana jangan
kamu biarkannya dikuasai oleh syaitan. Syaitan sangat inginkan kamu murung
dengan masalah kecil, kerana lemahnya jiwamu. Sedangkan di hadapanmu menanti
hari yang sangat besar. Kamu nanti tiada masa memikirkan masalah remeh-temeh
ini, kerana dahsyatnya saat akhirat yang kamu akan tempuhi.
Wahai anakku, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya kamu ditimpa sesuatu
musibah, janganlah kamu berkata 'Kalaulah aku lakukan begitu dan begini',
tetapi katakanlah ‘telah ditakdirkan Allah’, apa yang dikehendakiNya akan
terjadi. Kerana perkataan ‘kalau’ akan membuka ruang syaitan ke dalam
hatimu."
Wahai anakku, Tabahlah menghadapi sedikit ujian Allah di dunia ini, kerana
dengan ujian itu kamu menjadi semakin matang menghadapi cabaran. Bersabarlah
dengan apa yang menimpamu, kerana dengan mehnah itu, Allah akan mengangkat
darjatmu dan mengampuni dosa-dosamu. Wahai anakku, tangisilah dosa-dosamu di
dunia ini, kerana itu lebih mudah bagimu dari menangisi azab Tuhanmu di
akhirat.
Wahai anakku, Jika hari ini hari terakhir engkau di bumi
ini, masihkah kamu akan sakit hati pada perbualan telefon yang mengganggu emosi
tadi?
Apakah kamu masih akan mengambil hati pada kemalangan tadi?
Apakah kamu masih berkecil hati dengan mesej-mesej yang
dibaca tadi?
Apakah kamu masih akan marah pada mereka yang melupai jasamu dan memujimu?
Apakah kamu masih mengharapkan pujian daripada si dia?
Apakah kamu masih ingin bertengkar dengan mereka yang mengkritikmu?
Apakah kamu masih mengambil kisah pada mereka yang bersangka buruk padamu?
Apakah kamu mahu terus melukai dirimu dengan mengingati perbuatan orang lain
yang menyakitkan hatimu?
Apakah kamu masih menanti masa yang sesuai untuk bersama orang-orang yang
disayangimu?
Apakah kamu sanggup menyakitkan hati orang yang membantumu tanpa kenal erti
penat selama ini?
Apakah kamu sanggup melukakan hati ahli keluargamu?
Apakah kamu sanggup lagi membazir masamu?
Apakah kamu masih enggan berminta maaf pada orang yang kamu sengaja
persalahkan?
Apakah kamu masih hendak bersama-sama orang yang fasik dan menyebarkan fitnah?
Apakah kamu masih hendak mengejar harta-harta kebendaan di dunia ini?
Apakah kamu masih hendak menangis kerana dilukai orang tersayangmu?
Apakah kamu masih lagi memikirkan bagaimana hendak membalas dendam pada si dia?
Apakah kamu masih lagi memikirkan bagaimana untuk membuat si dia berasa salah?
Wahai anakku, Diharap tulisan di atas dapat merawat hatimu yang terluka hari
ini. Sekiranya kamu menghadapi sesuatu masalah yang mengganggu emosi, bayangkan
bahawa hari ini adalah hari terakhirmu di dunia ini -nescaya perkara tersebut
akan mengecil dan kamu boleh menghadapinya dengan tabah.
"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang
buruk-buruk agar mereka kembali (kepada kebenaran)." (Surah al-Araf: Ayat
168).
Sesungguhnya, segala ada hikmahnya. Dengan dugaan hidup, kita belajar erti
kesabaran. Jangan tiada masa dengan Allah, nanti Allah tiada masa dengan kita.
"...Jika kamu berharap pada Allah untuk membantumu di waktu sukarmu, justeru ingatilah Dia pada waktu senangmu..." ::Allah yuftah alaik fid dunia wal akhirah::
"Wahai manusia, cubalah sedaya upaya untuk mengosongkan diri kamu daripada kesulitan, kesusahan, memikirkan perkara keduniaan semata-mata. Sehabis mampu, cubalah kurangkan. Kerana barangsiapa yang seluruh kepala otaknya, fikirannya, tertumpu kepada keduniaan semata- mata, Allah akan bentangkan kesulitan, kesempitan hidup di hadapannya. Allah akan jadikan kemiskinan, kefakiran, kepapaan itu sedekat duduk di depan mata.
Tetapi, barangsiapa yang sentiasa berfikir berhempas pulas dan runsing tentang masa depan akhiratnya, maka Allah akan menjadikan kekayaan dalam jiwanya.
Mana-mana hamba yang menyerahkan hatinya kepada Allah, maka Allah akan jadikan seluruh hati orang-orang mukmin sayang padanya, kasihan belas padanya, dan cinta kepadanya. Allah memberikan kebaikan laju kepada nya. "
Malam semalam ber"whatsapp" dengan seorang sahabat lama waktu form 5 dulu. Tak banyak pun yang dichatkan memandangkan dia ada test hari ni. Dah habis la kot tadi petang. Dia memang selalu begitu. Kalau ada exam besar or test mesti akan inform. Dan rasanya sahabat-sahabat yang lain pun dia akan berbuat hal yang sama. Ok bukan itu mauduk ceritanya :)
Tak lama lepas tu, dia hantar gambar terbaru dia... well, mestilah rasa teruja nak tengok sebab dah lebih 5 tahun tak jumpa! huhu. Dan rasa teruja itu berbaloi rasanya sebab dia nampak lain, betul2 berbeza penampilannya sekarang. Alhamdulillah masih menutup aurat yg sempurna seperti dulu, yg bezanya dia dah makin slim. Dan lepas tu, dia pun mintak la gambar aku plak. Agak lama jugak la selongkar mencari gambar personal dan haruslah nak bagi yang paling baik & indah kan. At last, jumpa la gambar yg bersesuaian. Dan adalah beberapa baris dia komen pasal tu. Ok off story.
Hari ni, aku terfikir lagi betapa kita sering dambakan perhatian manusia. Tak banyak pun, pasti ada sedikit sekelumit rasa tu. Susah agaknya nak kikis. Mulai saat ni, jom sama-sama kita berusaha untuk buangnya dari kehidupan kita. Suburkan rasa cinta dan dahagakan perhatian Allah hatta dalam sekecil-kecil perkara. Sama-sama kita lintaskan dlm hati ini, "Ya Allah, pandanglah aku & hatiku.."
Ya Allah, jadikanlah kami ini lebih baik dari apa yang orang sangka~~
Kebesaran peribadi seseorang dilihat pada ujian yang dihadapinya...
Lebih besar ujian, lebih besar peribadi seseorang!
Setiap kali diuji, bisikkan ke hati... Allah sedang mendidikku!
Setiap kali Allah mendidik... bukankah itu bererti Allah menyayangimu?
Allah tidak melupakanmu... kenang Dia dalam ujianNya!
Belajar dari kesalahan masa lalu, cinta pada tugasan masa kini, bersangka baik pada masa yang akan datang... insyaAllah akan ada senyuman di hati dan di bibirmu!
Betapa banyak kepahitan masa lalu menjadi sangat manis pada masa sekarang..
Ingat hakikat itu wahai diri yang sedang menangis pada hari ini.
Ilmu kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau Ilmu Allah yang Maha Luas!
Solat ini adalah tiang agama.
Seseorang itu dilihat baik sama ada sebagai seorang ibu, pemimpin, guru, dan
apa saja level adalah melalui solatnya. Mari kita hayati satu santapan rohani
dari kalamullah (Al Maarij: 19-23):
“Sesungguhnya manusia dicipta
dalam keadaan keluh kesah lagi bakhil. Apbila ditimpa kesusahan, mereka
berkeluh kesah dan apabila diberi kesenangan, mereka kikir bakhil. Kecuali org2
yang mengerjakan solat yang mereka tetap selalu mengerjakan solat. “
Apabila kita diberi musibah, kita
seolah- olah orang tak bertuhan. Mengadu sana sini tak tentu hala, murung,
keluh kesah sana sini dan sebagainya. Tapi itu sudah perangai manusia yang
sentiasa resah apabila ditimpa musibah dan menjadi orang lupa daratan apabila
mendapat nikmat. Sebab itu senang saja untuk kita tahu bahawa orang-orang yang
punyai sifat negative ini, mudah komen, mudah menyalahkan pasti mempunyai
masalah dengan solatnya. Solat adalah natijah langsung dalam hidup, jika baik
dilaksanakan dari sudut penjagaan waktu, kualiti, roh solat maka baiklah
keseluruhan hidup kita. Solat ada terjemahan dalam hidup. Jadikanlah peribadi
kita seorang yang tenang dengan solat.
“(Surah Luqman: 17) Wahai anak
kesayanganku! Dirikanlah solat, ajaklah kepada kebaikan cegahlah kemungkaran
dan sabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Yang demikian itu termasuk perkara
besar yg diwajibkan. “
Perkara yang penting untuk
dilihat dalam pendidikan solat anak-anak:
Alirkan rasa ketenangan,
kedamaian ketika solat kepada anak yang dikandungkan. Ketenangan seorang ibu
akan sampai kepada anak. Ibu- ibu yang tak banyak kerenah, tak bawa masalah
kepada suami, tak kuat emosi, tenang dalam solat waktu mengandung, anak yang
dilahirkan itu menjadi anak yang sangat mudah diuruskan. Solat adalah terapi
jiwa.
Biasakan anak menggunakan
pancaindera untuk sentiasa melihat pergerakan solat, bacaan solat seawal masih
bayi lagi. Proses perkembangan bayi sgt menakjubkan. Anak-anak sgt cepat dan
pantas berkembang. Seolah olah kita doktrin anak- anak untuk dekat dengan
solat, mendekatkan dia dengan kebaikan sejak masih kecil.
Menyertakan anak untuk solat
bersama-sama.
Didik anak- anak bacaan solat di luar solat. Hatta ketika
sedang dipangku, dengarkan semua tasbih-tasbih dalam solat, selawat, surah
alfatihah dan lain lain. Nanti anak-anak senang untuk serap ketika solat yang
sebenar.
Perhati pelaksanaan solat anak-
anak sepanjang masa, bahkan solat kita sering diperhatikan Allah. Isytihar pada
anak-anak tentang kursus amali solat, cari waktu yang sesuai untuk laksanakan
untuk beritahu peri penting solat. Ajarkan tentang cara solat yg betul,
kedudukan berjemaah, bacaan- bacaan, bagaimana untuk masbuk dan sebagainya. Tasmik
bacaan anak2 satu persatu.
Latih anak lelaki untuk jadi imam
ketika solat sejak awal
Proses penghayatan solat berlangsung
dalam tempoh lama. Biarlah setiap minggu sekurang-kurangnya sekali buat
tazkirah tentang solat. Fadhilat solat dari sudut kesihatan dan pelbagai input
tentang solat. Walaupun tajuk tazkirah tiap minggu berbeza, masukkan input
tentang solat. Kaitkan semuanya dengan solat supaya akhirnya anak-anak dapat
lihat perkaitan solat dengan hidup dan benar benar menjiwai solat sebagai tiang
agama
Gambarkan kepada anak- anak
bahawa solat adalah solusi terhadap semua perkara. Apabila berlaku sebarang
konflik kepada mereka, ajak anak-anak untuk solat terlebih dahulu dan rasai
kenikmatannya. Kelak, mereka akan faham bahawa apa pun yang berlaku, mereka
perlu berhubung langsung dengan Allah SWT.
Ajak mereka nikmati solat
berjemaah. Ikat hati anak- anak dengan masjid. Seperti dalam surah Hijr: 21,
gambarkan kepada anak bahawa masjid adalah perbendaharaan Allah. Di sanalah
Allah turunkan perbendaharaannya terlebih dahulu untuk org masjid.
Banyakkan dan bantu anak- anak
hafaz sekurang-kurangnya ayat lazim. Sangat penting kalau kita mahu anak kita
menjadi generasi yang menjaga solat, kita perlu ikat mereka dengan Al Quran.
Nabi pernah bersabda, “Ya Allah, jadikanlah penenang jiwaku itu ada pada solat”.
Ya Allah, tinggikan nama kami di sisiMu, di himpunan yang baik, dan di tempat yang lebih baik. Amin
Masuk hari ni, genap seminggu sudah aku meninggalkan bumi tarbiyyah harakiah itu. Meninggalkan sahabat handai yang selalu di hati, dan segala kenangan di sana. Allah sajalah yang tahu betapa pilu dan pedih terasa saat kaki melangkah masuk ke pesawat hari itu.
Sepanjang perjalanan, terbuai- buai wajah sahabat satu persatu. Lembut je. Terlakar di fikiran kata- kata semangat yang diberikan sepanjang perjalanan. Terlukis semua memori kita bersama sepanjang 3 tahun di sana. Siapa sangka, perkara seperti ini akan terjadi dalam hidupku. Sungguh, aku sangat mengasihi dan merindui kalian. Namun, itu hanya terluah di dalam hati saja. Saban hari di rumah, aku cuba sedaya mungkin menyibukkan diri dengan perkara- perkara yang mendekatkan diri kepada Allah dan memberi nilai tambah kepada diri. Dengan harapan, semoga Allah menunjukkan jalan keluar atas semua yang berlaku. Aku sangat yakin akan hal itu.
Pernah juga aku terfikir, mungkin aku yang terlalu emosi. Abah sendiri pernah cakap, "nilah masalah utama angah, selalu sangat hard feeling. Dari zaman sekolah sampai ke Sabah. Jadi bila terjadi perkara sebegini, mulalah hati tak keruan bagai. Aduhai lah hati. Orang kata, patah tumbuh, hilang berganti. Tapi sahabat sahabat yang selalu bertakhta di sanubari tiada galang gantinya. Tambah lagi yg saling mengasihi kerana Allah.
"Ya Allah, sudilah kiranya Engkau satukan hati kami, setia bersama kala susah dan senang, jauh mahupun dekat, kumpulkan kami di tempat yang Engkau redhai dan himpunkan kami sekali lagi di jannahMu yang teragung. Kasihilah kami sebagaimana Engkau mengasihi orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aminn, ya Rabbal Alamin"
" Allah bersama pemuda yg memasang azam untuk menceburi bidang jual beli dengan Allah. Sungguh, jual beli bersama Allah itu bukan mainan dan hebahan yang meluas, ia perlukan pembuktian yg mana kita menyerahkan jiwa yg bersedia untuk diuji dan diuji. Pandanglah ia sebagai rahmat Allah. Bersangka baiklah wahai barisan muharrik yg meletakkan langkah. Khas buat Allah. Selawat dan salam buat Sayyidi Rasululillah.Redha Allah sbg Tuhan, redha dgn ujian yg dikurniakan ke atas kita.
Semoga terus bersemangat dan tabah di dalam hidup dan perjuangan :) "
Bagi aku, menulis ni bukan sesuatu yang mudah. Teingat zaman sekolah dulu, jenuh la nak habiskan 2 muka surat pun karangan. Nah, waktu tu habis semua peribahasa, slogan- slogan, dan segala kata madah pujangga terakam dalam fikiran supaya dapat disesuaikan dengan coretan yang bakal terlakar nanti. Selalunya memang setiap karangan akan adalah dua, tiga peribahasa yang berulang. huhu.
Tapi itu zaman sekolah. Karangan dihasilkan ikut suka hati mengikut tema yang diberi, cacamerba sekali. Era matrikulasi juga berbeza. Menulis adalah untuk menyiapkan laporan organisasi, risalah yang perlu dihasilkan sesuai dengan peristiwa.
Kini, setelah melalui alam kampus, penulisan adalah sesuatu yang sangat menarik. Tidak sekadar tulisan, bahkan ia boleh menjadi suatu inspirasi yang sangat berharga! Bayangkan, hanya dengan sebaris tulisan saja kita bisa bangkit dari sebuah lamunan yang panjang. Boleh juga menjadi racun berbisa buat hati. Sebab itu, aku sangat suka membaca tulisan (buku) dan kata- kata motivasi. Kadang- kadang hafal juga, tapi kebiasaannya akan terlupa la. hehe.
Dan aku sangat- sangat suka bersahabat dengan orang yang kata- katanya indah didengar apatah lagi yang suka menulis. Tak semestinya dia tu seorang yang pandai berkata-kata atau jenis lantang bersuara. Tapi adakalanya sedikit kata- kata itu sangat terkesan di hati. Sangat suka! Orang jenis begini, insyaAllah boleh dipercayai.
Yang pasti, apa-apa saja tulisan yang baik dan bermanfaat pasti ada nilaiannya di sisi Allah. Menulislah kerana Allah.
p/s: currently fall in love with Ustazah Norhafizah's words dan Ustaz Ahmad Dusuki's writings :)
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang sudi memberi sedikit kekuatan untuk melahirkan blog ni. Sementelah banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan, sukar rasanya menyelitkan sedikit masa untuk ini.
Semoga usaha ini bakal memberi sedikit manfaat buat orang lain dan terutamanya buat diri sendiri yang sering alpa dalam manjalankan tujuan kehidupan itu sendiri. Well, tak pandai pun nak menulis ni. Tapi kalau sekadar curahan hati dan inspirasi tu boleh la sikit- sikit sebab aku sangat percaya yang setiap org ada internal motivation. Berusaha menulis dari hati supaya ianya sampai ke hati jua. Yang baik itu jadikanlah iktibar, sementara yang buruk itu tegurlah dan jadikan sempadan diri. Hidup adalah perjuangan menuju Tuhan dalam perjalanan yang ditempuh. Bekalannya pastilah iman & taqwa!